ibu mengandung
Picture

Kelahiran adalah merupakan pengakhiran kepada proses kehamilan dan juga merupakan permulaan kepada sebuah kehidupan manusia. Proses kelahiran bermula apabila rahimberkontraksi selama 15 hingga 20 minit dan serviks meregang serta mula terbuka sekitar 14 hingga 24 jam, iaitu kira‐kira 266 hari selepas proses persenyawaan berlaku. Seseorang wanita yang mengandung biasanya akan menerima konstraksi 'palsu' selama beberapa kali menjelang bulan‐bulan terakhir kehamilannya. Konstraksi yang sebenar hanya berlaku apabila konstraksi terjadi berulang‐ulang kali dalam tempoh masa yang sama. Perubahan‐perubahan rahim dan serviks biasanya bermula kira‐kira 2 minggu sebelum kelahiran. Pada masa kehamilan, hormon Progesteron berfungsi untuk memastikan otot‐otot rahim berada dalam keadaan rehat dan otot‐otot serviks adalah rapat. Menjelang waktu kelahiran, paras hormon estrogen pula mula meningkat, dan ianya berperanan untuk mengecutkan rahim dan menjadikan serviks lebih fleksibel. Masa kelahiran dikatakan ditentukan oleh kadar penghasilan protein oleh plasenta yang dikenali sebagai Corticotropin‐Releasing Hormone (CRH). Kadar penghasilan CRH seawal usia 5 bulan kandungan boleh menentukan sama ada seseorang bayi itu dilahirkan awal, tepat pada masanya atau lewat.
Pada umumnya, terdapat 3 kaedah utama kelahiran, iaitu kelahiran secara semulajadi, kaedah Cesarean dan juga kaedah 'prepared birth'. Kaedah kelahiran semulajadi adalah terbahagi kepada 3 tahap. Tahap pertama mengambil masa 12 jam atau lebih, di mana rahim akan berkontruksi secara tetap dan kemudiannya menjadi semakin kerap, yang menyebabkan serviks mula terbuka. Peringkat kedua pula bermula apabila kepala fetus mula bergerak melalui serviks menuju ke arah saluran kelahiran yang mengambil masa kira‐kira 1 1/2 jam, dan ianya berakhir apabila fetus dapat dikeluarkan sepenuhnya dari badan si ibu. Sekiranya berlaku sebarang komplikasi dalam proses kelahiran, biasanya doktor akan menarik kepala bayi dengan menggunakan forsep atau sejenis vakum khas untuk menarik kepala bayi keluar. Pada akhir peringkat ini, fetus tersebut telahpun dilahirkan, namun tali pusatnya masih melekat pada plasenta dalam rahim. Dalam peringkat terakhir kaedah kelahiran semulajadi, plasenta dan tali pusat yang masih tertinggal di dalam rahim si ibu akan dikeluarkan sepenuhnya, dan ianya mengambil masa selama kira‐kira 5 hingga 30 minit.

Kaedah kelahiran Cesarean pula merupakan prosedur kelahiran melalui pembedahan untuk mengeluarkan bayi dari rahim dengan membedah abdomen si ibu. Proses pembedahan biasanya akan dilakukan sama ada apabila sesuatu kelahiran itu menghadapi komplikasi dan memakan masa yang terlalu lama, apabila fetus berada dalam keadaan songsang, ataupun apabila si ibu mengalami pendarahan yang terlalu banyak ketika melalui proses kelahiran semulajadi.
Bagi kaedah 'prepared birth' pula, prosesnya adalah lebih kurang sama dengan kaedah semulajadi, namun pendidikan tentang kelahiran dan teknik relaksasi diterapkan kepada ibu‐ibu mengandung sejak peringkat awal proses kehamilan lagi. Ini dilakukan bagi membantu mengurangkan kesakitan ketika proses kelahiran dengan mengajar tentang teknik pernafasan yang betul untuk mengawal peneranan. Pendidikan psikologi juga diberikan bagi membantu mengurangkan ketakutan dan tekanan ibu‐ibu yang mengandung serta pasangan mereka menjelang tibanya waktu kelahiran.
Bagi mengurangkan kesakitan semasa bersalin, pakar‐pakar perubatan biasanya mengesyorkan ubat penahan sakit yang lazimnyz digunakan semasa proses kelahiran seperti Analgesia, Anestesia dan Oxytocics. Walau bagaimanapun, pakar‐pakar perubatan lebih menggalakkan agar ibu‐ibu mengandung menggunakan dos ubat penahan sakit yang sedikit berbanding secara maksimum. Ini kerana berdarkan 10 kajian terhadap 2,369 responden yang telah dijalankan di Eropah, Amerka Syarikat dan Kanada, didapati wanita‐wanita yang mengambil dos ubat penahan sakit yang sedikit akan mengalami proses pemulihan yang lebih efektif, dan bayi‐bayi mereka pula lebih cenderung untuk dilahirkan dalam keadaan yang lebih baik berbanding dengan keadaan wanita‐wanita yang mengambil dos ubat penahan sakit secara berlebihan
Picture

ibu mengandung