ibu mengandung
PENJAGAAN SEBELUM KEHAMILAN

Kehamilan adalah satu proses yang indah bagi pasangan yang sedang menanti kelahiran cahaya mata tetapi ianya boleh menjadi satu tragedi sekiranya kehamilan itu tidak diingini dan tidak dirancang contohya bagi remaja yang melakukan seks sebelum nikah dan kehamilan sewaktu keaadaan kesihatan tidak mengizinkan. Kehamilan yang baik adalah kehamilan yang telah dirancang bersama pasangan . Pasangan yang inginkan anak hendaklah memilih masa yang sesuai untuk mendapatkan zuriat dan ketika keadaaan kesihatan ibu adalah baik samada dari segi fizikal dan juga mental .

Penjagaan sebelum kehamilan bermula daripada pra perkahwinan. Antara ujian saringan yang dibuat sekarang adalah ujian saringan HIV keatas pasangan yang ingin berkahwin.Selain daripada itu anda dan bakal suami digalakkan juga untuk untuk membuat saringan Thallasemia yang boleh dijalankan dikebanyakan klinik kesihatan berhampiran dengan rumah anda.

Setiap ibu atau wanita yang akan mengandung digalakkan untuk mengambil tablet Folic Asid setiap hari sebelum dan semasa mengandung. Ini dapat mengurangkan kecacatan bayi (neural tube defect).

Setiap wanita juga disarankan untuk mengambil vaksin untuk Rubella sebelum mengandung sekiranya belum mendapat suntikan tersebut dan anda tidak dibenarkan mengandung selama  3 bulan dari tarikh vaksin Rubella diambil. Jangkitan Rubella semasa mengandung terutamanya diawal kehamilan boleh membawa kecacatan yang serius terhadap janin yang dikandung.

Bagi bakal-bakal ibu anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan temujanji diklinik kesihatan bagi penjagaan sebelum kehamilan terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi, diabetes mellitus, masalah jantung , masalah SLE dan lain lain masalah kesihatan supaya doktor dapat menilai tahap kesihatan anda sebelum dibenarkan mengandung.

Ibu - ibu yang mempunyai masalah semasa mengandung yang lalu juga dinasihatkan untuk mendapat penjagaan sebelum kehamilan, antaranya adalah masalah keguguran yang berturut, masalah anak meninggal dalam perut, masalah darah tinggi dan diabetes semasa mengandung dan juga bagi mereka yang telah menjalani kelahiran secara pembedahan  .

Semoga dengan merancang kehamilan, anda dan pasangan akan mendapat anak yang sihat dan juga ibu kekal sihat sepanjang kehamilan dan juga selepas melahirkan. 

Oleh Dr Saniah Bt Senik
FMS

ibu mengandung