ibu mengandung
Picture

UBATAN SEMASA MENGANDUNG

Penggunaan sesetengah ubat semasa hamil boleh menyebabkan berlakunya kecacatan kepada bayi yang dikandung. Antara panduan yang boleh diikuti oleh ibu yang mengandung dalam menggunakan ubat-ubatan ialah seperti: 
(1) Mengelakkan penggunaan ubat kecuali jika betul-betul memerlukannya, 
(2) Jika anda amat memerlukan ubat, gunakan ubat yang kurang kesan toksik, 
(3) Pilih ubat yang telah digunakan secara meluas dan dipastikan keselamatannya berbanding dengan ubat baru, 
(4) Sesetengah bahan atau ubat pelalian (bius) tidak disyorkan dalam kehamilan. 

Dapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor anda. Apa yang penting di sini ialah jika seseorang ibu itu mengandung dan ingin mengambil ubat, maka haruslah dipastikan bahawa ubat tersebut adalah yang paling selamat untuk ibu dan juga bayi yang dikandungnya.

sumber: 
Penggunaan Ubatan Semasa Hamil
www.pharmacy.gov.my
Picture

KEPENTINGAN VITAMIN SEMASA KEHAMILAN

Adalah penting bagi ibu untuk mendapat pemakan yang seimbang semasa mengandung. Ini termasuklah dengan memakan buah-buahan, sayuran, bijiran dan kekacang. Walaubagaimanapun, apabila ibu mengalami masalah alahan atau muntah-muntah semasa mengandung, adalah sukar untuk mendapat khasiat dari pemakanan sahaja, jadi mengambil vitamin tambahan adalah disarankan.

Secara keseluruhannya, multivitamin yang baik untuk wanita hamil haruslah mempunyai kandungan asid folik, zat besi, kalsium dan vitamin-vitamin lain yang mencukupi. Asid folik atau vitamin B terdapat dengan banyak dalam makanan seperti kekacang, sayuran hijau, dan makanan bijirin.

Asid folik diperlukan terutama semasa anda merancang untuk hamil, dan tiga bulan pertama selepas hamil. Asid folik amat penting kepada tumbesaran saraf bayi semasa 3 bulan pertama kerana kekurangan vitamin ini ada dikaitkan dengan kecacatan saraf (neural tube defect), otak (anencephaly) dan saraf tunjang (spine bifida).  Risiko-risiko tersebut boleh dikurangkan dengan memakan asid folik diperingkat awal hamil.

Zat besi juga merupakan galian yang penting kerana semasa mengandung, badan kita akan membuat lebih sel-sel darah untuk memastikan oksigen yang cukup untuk bayi, tetapi zat besi juga penting untuk pembinaan sel darah merah bayi kita. Penyakit anemia (kurang darah) mudah berlaku dikalangan mereka yang kerap mengandung dan kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan zat besi. Gejala yang biasa dialami adalah seperti berasa letih, pucat, kesukaran bernafas, loya, mengalami palpitasi, sakit kepala dan pening. Anemia yang teruk boleh menyebabkan kelahiran pramatang, mengurangkan bekalan oksigen kepada bayi dan juga menyebabkan tumbesaran bayi terbantut.


Di samping itu, vitamin C juga amat penting bagi ibu mengandung kerana ia bukan sahaja meningkatkan kadar penyerapan zat besi dalam badan malah membantu dalam sintesis protein. Pengambilan vitamin C juga mencegah komplikasi semasa hamil seperti kelahiran yang kurang berat badan dan anemia.

Satu lagi vitamin yang penting bagi ibu mengandung adalh vitamin B Complex. Vitamin ini  mengandungi kesemua 8 jenis vitamin B termasuklah asid folik. Vitamin-vitamin B yang terkandung dalam vitamin B complex adalah seperti berikut:

Vitamin B1 (thiamine)

  • membina jaringan fungsi saraf, otot dan otak.
  • menukar glukosa dan protein dalam makanan kepada tenaga
  • mengelakkan diabetes
Vitamin B2 (riboflavin)

  • menjaga kekuatan saraf
  • menguatkan fungsi otak
Vitamin B3 (niacin)

  • memberi tenaga, mengelakkan kelesuan
  • mengurangkan perasaan stress dan tertekan
  • memberi ketenangan
Vitamin B5 (panthotenic acid)

  • mengelakkan kekejangan otot
Vitamin B6 (pyridoxine)

  • membantu mengelakkan komplikasi semasa hamil seperti kelahiran pramatang
  • memberi tenaga
  • menghilangkan rasa lesu
Vitamin B9 (folic acid)

  • penting dalam sintesis DNA dan pembahagian sel di awal kehamilan
  • mengurangkan risiko spina bifida pada bayi
  • menjaga fungsi saraf
  • mengelakkan kurang darah
Vitamin B12 (cyanocobalamin)

  • mencegah anemia
  • menjaga kesihatan kulit
  • mencegah kelesuan

Oleh:
 Vimaladevi
Pegawai Farmasi KK Maran
ibu mengandung